IKHLAS TAPI JAUH




Bagi mengetahui apakah maksud ikhlas yang mungkin dapat memahamkan kita semua mengenainya, saya akan berkongsi sebuah cerita yang mudah yang mungkin bermanfaat buat kita semua.

Di sebuah madrasah, terdapat seorang guru dan anak muridnya yang setia. Anak murid ini juga merupakan pembantu kepada guru tersebut dan sentiasa berdampingan dengan gurunya itu.

Pada suatu hari, si guru mengatakan kepada anak murid yang dikasihinya itu, "Mari daku ajarkan kepadamu tentang ikhlas!"

"Baik guruku! Biar aku ambil pena dan kertas sekejap!"

"Oh... Tidak usah! Ambilkan sekarung guni yang kosong", si guru membetulkan jubah yang terpesak.

"Karung guni...? Unnt..."

"Sudah. Ikut sahaja kataku. Ayuh ke pasar!", si guru tangkas memotong pertanyaan si anak murid. Dengan penuh taat, si anak murid mendapatkan sehelai guni yang sederhana besarnya lalu berjalan bersama gurunya ke arah pasar yang terletak di hujung pekan kediaman mereka.

Sepanjang perjalanan itu, mereka perlu melalui jalan yang berbatu-batu. Kadangkala langkah mereka menjadi sukar disebabkan terganggu oleh batuan yang menghalang kelancaran perjalanan.

"Muridku, sila kaukutip batu-batu yang ada ini dan isikan ke dalam karungmu itu!"

Suasana khali sejenak. Si guru menikmati keindahan langit.

"Guru! Cukupkah batu sebanyak ni?". Lamunan si guru mati andar.

"Isikan lebih lagi. Lagi banyak, lagi bagus. Biar penuh. Tak apa..."

Si murid tekun mengutip batuan yang ada lalu dipenuhkan ke dalam karung guni.

"Ayuh kita teruskan perjalanan kita ke pasar", si guru memberikan arahan. Dengan penuh kepayahan, si murid memikul karung guni yang sarat berisi batuan yang maha berat itu. Peluh jantan menitik menitisi bumi laluan mereka.

Sesampainya di pasar, si guru berjalan dari satu gerai ke gerai yang lain. Dari gerai ikan, mereka langsung ke gerai buah dan sayur. Si murid berasa pelik dengan kelakuan gurunya itu yang seolah-olah mahu mempermain-mainkannya.

"Guruku... Tak beli apa-apakah?"

"Eh, bukankah gunimu itu sudah penuh?", si guru menjawab selamba sambil membelek buah tembikai di depan mata.

"Ya... ya...", si murid menjawab dalam kelelahan.

"Banyak sungguh tuan guru membeli barang ya!", tegur si penjual buah. Si guru hanya tersenyum sahaja.

"Wah... Banyak sungguh barang yang mereka berdua beli. Sendat guni yang dibawa... Pastinya mereka ini merupakan orang-orang kaya!", tegur mak cik-mak cik yang lalu lalang.

"Uish... Besar guni yang dipikul... Mungkin nak buat kenduri barangkali!", sapa orang-orang di jalanan.

Si guru dan murid meneruskan perjalanan pulang ke rumah di bawah terik mentari. Sesampainya sahaja di madrasah, si murid meletakkan karung guni itu ke atas tanah.

"Aduh! Penatnya saya! Untuk apa kita ke pasar dengan batu-batu ini...?", si murid mengeluh.

"Guru, apa yang kita nak buat dengan batu-batu ni?", si murid duduk sambil mengipas ketiaknya yang melekit-lekit dek peluh.

"Oh! Tak buat apa-apa!", si guru sekali lagi menjawab dengan selamba. Tanpa perasaan dan rasa bersalah.

"Haa?? Kalau macam tu, letih sahajalah saya...!", si anak murid melepaskan keluhan yang dalam dan panjang.

"Letih memanglah letih. Tapi kamu sudah belajar mengenai ikhlas".

"Ikhlas?? Bagaimana tu guruku?"

"Kamu sudah belajar akibat tidak ikhlas dalam beramal!"

"Dengan memikul batu-batu ini?"

"Ya. Batu-batu itu umpama amalan yang riak. Tidak ikhlas. Orang memujinya seperti orang-orang di pasar tadi memuji betapa banyaknya barang yang kamu beli. Tapi, kamu sendiri tahu itu bukan barang makanan atau keperluan di dalam karung itu tetapi hanyalah batu-batu yang tidak berguna..."

"Amalan yang tidak ikhlas itu bagaikan batu-batu ini? Saya kurang mengerti..."

"Ya, hanya beratnya sahaja yang terpaksa ditanggung. Dipuji orang, tetapi tidak ada nilainya di sisi Allah. Yang kamu dapat; hanya penat, lelah dan letih..."

"Subhanallah! Baik! Saya sudah faham apa akibatnya beramal jika tidak ikhlas!"

************
Dipetik dari sebuah blog karya Muhammad Fazdhly Abdul Muttalib,Isma London

Kini sudah jelaslah bahawa apa jua bentuk amalan baik yang tidak disertai dengan keikhlasan hanyalah suatu perkara yang sia-sia. Ianya mungkin menjadi satu perkara yang dipandang mulia di sisi manusia tetapi TIDAK sama sekali mempunyai nilai di sisi Allah.

Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment