Pokoknya Pahit Buahnya Manis


Dengan nama Allah. Daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya jualah kita akan dikembalikan. Hanya Allah tempat kita berlindung dari segala kejahatan syaitan dan konco-konconya. Saya sentiasa berdoa agar apa yang saya coretkan di sini ikhlas datangnya dari hati yang suci semata-mata mengharapkan keredhaan Allah dalam memperjuangkan da’wah di jalan-Nya. Insya-Allah.

Islam itu syumul dan menyeluruh. Tiada agama lain yang mampu menandingi kehebatan Islam. Allah telah meredhakan Islam menjadi agama-Nya. Buktinya:

surah an-Nisa’ ayat 125,
“dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang dengan ikhlas berserah diri kepada Allah, sedang dia mengerjakan kebaikan, dan mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah telah memilih Ibrahim sebagai kesayangan-Nya.”

Maka apakah peranan kita sebagai salah seorang penganut agama yang telah dijanjikan Allah sebagai yang terbaik ini? Sekadar mengaku bahawa kita ini muslim dan mengucap dua kalimah syahadah sahaja tidak cukup. Sekadar mengerjakan solat lima waktu sehari semalam dan puasa dalam bulan Ramadhan, ditambah lagi dengan zakatnya, hajinya dan pelbagai lagi perkara yang telah difardhukan kepada kita juga sebenarnya masih tidak melayakkan kita untuk mengaku di padang Mahsyar nanti bahawa kita telah melaksanakan peranan kita sebagai seorang Muslim. Tidak cukup wahai saudara-saudariku.

Ya akhi wa ukhti fillah,

Islam itu bukan sekadar ibadah. Perlu ditekankan sekali lagi bahawa Islam itu sifatnya menyeluruh. Maka peranan kita bukan hanya untuk menjaga hubungan kita dengan Allah melalui ibadah-ibadah kita, tetapi kita juga ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, atau lebih tepat lagi tanggungjawab kita terhadap saudara-saudara kita. Hablumminannaas.

Sedarlah bahawa terlalu ramai sebenarnya saudara kita bukan sahaja di luar, malah di sekeliling kita juga yang telah hanyut dengan cukup teruk dan Islamnya hanya tinggal sekadar pada nama sahaja. Namanya Islam, tetapi kehidupannya langsung tidak pernah menampakkan bahawa dirinya menganut agama yang benar-benar suci ini. Usahlah terkejut wahai saudaraku apabila suatu hari nanti, Islam itu akan diejek, dicaci, dihina dan dibuang oleh penganutnya sendiri, malah tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa fenomena ini telah pun lama berlaku!


Maka saudaraku, bangkitlah! Sudah tiba masanya untuk kau sedar dari tidurmu yang lena dan dipenuhi mimpi-mimpi indah dunia yang fana ini. Sekaranglah masanya untuk kau berikan sumbangan kepada agamamu yang amat kau cintai ini. Situasi dunia sekarang sama ada kita sedar atau tidak, telah kembali menjadi seperti pada zaman jahiliyyah dahulu, di mana nabi kita yang amat kita cintai, Muhammad s.a.w baru mula-mula ingin menyebarkan da’wah.

Bagaimana situasinya? Islam itu dianggap cukup asing dan menyimpang jauh dari budaya-budaya yang ada dalam masyarakat. Islam dianggap ketinggalan zaman. Islam diperlekehkan dan dikatakan sebagai kolot. Senang kata, Islam dianggap asing dan sesiapa yang mengamalkan ajaran Islam akan dipinggir malah dipulaukan, malah ada yang disiksa. Maka takutkah kita?

Sesungguhnya tidak usahlah risau dan susah hati wahai saudaraku kerana inilah fitrah penda’wah yang pernah disebutkan Rasulullah s.a.w. Buktinya:

Hadis riwayat Abu Hurairah r.a,
“Islam pada mulanya tersebar dalam keadaan asing, dan akan kembali menjadi asing. Maka beruntunglah orang-orang yang asing”(au kama qal)

Sesungguhnya perjalanan kita sebagai seorang penda’wah di atas jalan ini, memang sudah dijanjikan kepada kita pelbagai ujian, dugaan, cabaran, onak dan duri yang ada kalanya mampu membuatkan semangat kita luntur. Maka jadilah seorang yang kuat saudara-saudariku! Bukan luaran sahaja kuat, malah dalaman juga perlu kita kuatkan dalam menempuh jalan ini. Berasa untung dan bersyukurlah kalian kerana Allah telah memilih kita sebagai pemegang-pemegang panji di jalan da’wah ini. Insya-Allah, keredhaan Allah sentiasa di pihak kita selagi kita yakin kepada-Nya dan melaksanakan tanggungjawab kita dengan sedaya kemampuan kita.

Di dunia mungkin kita dipandang hina dan dipinggirkan, tetapi di akhirat nanti kitalah yang akan dipandang mulia dan tinggi darjat-Nya pada pandangan Allah. Pokoknya yang kukuh berdiri mungkin berasa pahit, tetapi buah-buahnya yang menjulur mewangi sentiasa pasti berasa manis. Insha-Allah.

Wallahua’lam.

Hamba Allah, Pejuang Da'wah







2 comments:

  1. salam all~
    first comment here,.. nothing to say, but..
    "Islam datang dengan dagang, dan berakhirnya juga dengan dagang"
    mmg benar "sejarah memang berulang"..
    sekadar tambahn, maaf jika tiada kaitan dgn entri di atas.. =)

    ReplyDelete
  2. wassalam.
    yup, memang ade kaitan.
    syukran atas komen saudari.
    harap dapat terus memberikan perkongsian selepas ini =)

    ReplyDelete